Melukis Impian

Melukis Impian Melakar Kejayaan Menembusi Imaginasi

Thursday, November 22, 2012

Dan Bila Bertemu Ep 8


Cerita ini hanyalah rekaan saya semata- mata dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Kalau ada pun hanya kebetulan jer...~hahaha~
adapun cuma cerita tentang hidup manusia biasa.
Kalau korang terlepas Dan Bila Bertemu Ep 7 klik sini
Footnote(hehe...) : Kalau lagu blog ni mengganggu korang...'pause'laa kat bahagian paling bawah kanan blog ni okay...
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

"PERCAYALAH, bukan saya".

"Habis siapa? saya pelik, kalau bukan awak...siapa? setahu saya awak seorang sajalah yang tahu hal ni".

"Itu tidak bermakna saya yang membocorkan rahsia awak. Kita ni kawan baik, Sarah. Saya dah janji dengan awak yang saya takkan bocorkan rahsia ni pada sesiapapun. Awak juga tahu saya bukanlah jenis orang yang melanggar janjinya”

Aku jadi bingung. Kalau bukan Nurul...siapa? soalku dalam hati sambil memandang kosong buku latihan Fizik di atas meja. Sudah hampir satu jam kami duduk di situ. Cikgu Zahira yang sepatutnya dijadualkan masuk ke kelas kami tidak muncul-muncul dari tadi. Nurul yang menghadapku itu memandang mukaku di samping meminta supaya aku percaya dengan kata- katanya. Aku mengeluh buat kesekian kalinya.

“Baik, saya percayakan awak. Saya cuma…”

“Saya faham…lagipun ayah awak baru saja meninggal dunia. Awak sedang tertekan. Jangan ikutkan perasaan awak tu. Berfikirlah secara rasional.”

Aku memandang mukanya. Mata Nurul yang sepet itu menjadi sasaranku. Aku merenung matanya. Dari situ, aku dapat melihat keikhlasannya. Aku cuma tersenyum hambar.

Nurul yang dapat merasakan bahawa senyumanku itu seperti dipaksa-paksa bersuara, “sudahlah…jangan terlalu memikirkan hal ini, nanti pelajaran ke mana, hidup ke mana. Saya tak mahu kawan baik saya tak ada masa depan.”

“Hish! Ke situ pula awak”, lalu aku tersenyum.

“Haa…bila awak senyum barulah comel sikit muka awak yang tak berapa nak comel tu.” Aku menarik muka masam semula.

“Eleh…merajuklah tu.”

Sejurus kemudian kami ketawa bersama-sama. Topik tadi turut hilang bersama-sama dengan gelak tawa dan senyuman yang terukir di bibir.

Aku sangka masalah tadi dengan senang sahaja boleh dilupuskan daripada minda. Namun, aku silap. Ini semua gara-gara aku terlihat kelibat Afril di gerai makan Pak Tam sedang membeli tiga bungkus teh ais. Aku juga nampak kelibat Laili dan Khairunnisa di situ. Entah mengapa cemburuku menjelma secara tiba-tiba. Ya, cemburu. Kerana aku lihat mereka kelihatan sungguh mesra. Layanan Afril terhadap Laili dan Khairunnisa sangat baik. Terutamanya Laili. Aku terkilan. Perwatakan Afril sungguh berbeza berbanding semalam. Aku mengetap bibirku.

Memang, kalau hendak dibandingkan aku dengan Laili, bagaikan langit dengan bumi. Laili mempunyai segala-galanya. Dia datang daripada keturunan yang kaya-kaya. Wajahnya cantik, putih dan tampak sungguh menawan. Dia juga seorang yang baik, bijak dan lemah-lembut. Memang sesuai dipadankan dengan Afril, seorang anak muda yang berkarisma, pandai, kacak dan maskulin. Ibu bapa Afril juga merupakan orang yang kaya. Semua yang Afril inginkan pasti ditunaikan.

Aku tidak meminta untuk dia melutut di depanku. Cukuplah sekadar dia melayan aku seperti dulu. Aku cepat-cepat beredar dari situ. Takut kalau-kalau mereka perasan akan kehadiranku. Juga, tidak mahu merosakkan kemesraan mereka.

Langkah kakiku terasa berat. Sejak tadi, aku menuntun basikal sampai ke halaman rumah. Fikiranku berserabut saat ini. Betul-betul berserabut. Aku memberi salam sambil membuka kasut baru pemberian arwah abah. Kasut itu memaku perhatianku. Kasut itu merupakan hadiah terakhir daripada arwah abah dan mungkin juga hadiah terakhir dalam hidupku kerana ibu tidak mungkin mampu untuk membelikan aku hadiah dek kekurangan wang. Abah! Sarah harap abah dilindungi Allah di ‘sana’. Jawapan salam daripada ibu mematikan lamunanku. Dengan perasaan sedih, aku melangkah masuk ke dalam rumah.

Ayam masak lemak cili api menjadi santapan kami sekeluarga pada tengahari itu. Suasana menjadi hambar. Satu suara pun tidak terlontar sejak tadi. Hanya suara comel Ida yang ku dengar. Ibu yang perasan akan kehambaran itu memulakan bicara.

“Macam mana sekolah harini?”

“Alhamdulillah…semuanya ok,” jawabku seadanya. Aku memandang ibu. Wajah ibu kelihatan penat. Pasti disebabkan kerja. Ibu banyak mengambil upah menjahit, menoreh dan mencuci pakaian sekarang. Tidak seperti dulu, ibu kini harus membanting tulang demi mencari rezeki untuk menyara kehidupan kami. Aku kasihan melihat ibu. Tapi, apa yang mampu aku buat? Tidak ada!        “Lepas makan, tolong basuhkan pinggan ibu ya? Ibu nak ke atas,” kata ibu sambil mendukung Ida.

“Baik ibu,” sambutku.

Usai makan, basuh pinggan mangkuk, membersihkan diri dan solat, aku merebahkan diri di atas katil usangku. Fikiranku mula menerawang tentang peristiwa di gerai Pak Tam tadi. Semakin aku memikirkannya, semakin terluka hatiku. Biarlah Sarah. Perjalanan kau masih panjang lagi. Jangan terlalu memikirkan tentang Afril aje. Ada betulnya kata-kata Nurul tadi. Kalau asyik serabut memikirkan masalah ini, pelajaran ke mana, hidup ke mana. Sekarang ini kau harus fokus untuk mengubah nasib kau, Sarah. Hrm…tak lama lagi akan bermulanya cuti bulan Mac. Mungkin tempoh cuti yang ada ini merupakan masa yang paling sesuai untuk membantu ibu bekerja. Paling tidak mencuci pakaian ataupun mengemas rumah. Aku mahu meringankan beban ibu. Itu azamku cuti yang akan menjelang nanti.

No comments:

Post a Comment