Cerita ini hanyalah rekaan saya semata- mata dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Kalau ada pun hanya kebetulan jer...~hahaha~
adapun cuma cerita tentang hidup manusia biasa.
Kalau korang terlepas Dan Bila Bertemu Ep 7 klik sini
Footnote(hehe...) : Kalau lagu blog ni mengganggu korang...'pause'laa kat bahagian paling bawah kanan blog ni okay...
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX
"PERCAYALAH, bukan saya".
"Habis siapa? saya pelik, kalau bukan
awak...siapa? setahu saya awak seorang sajalah yang tahu hal ni".
"Itu tidak bermakna saya yang membocorkan rahsia
awak. Kita ni kawan baik, Sarah. Saya dah janji dengan awak yang saya takkan
bocorkan rahsia ni pada sesiapapun. Awak juga tahu saya bukanlah jenis orang
yang melanggar janjinya”
Aku jadi bingung. Kalau bukan Nurul...siapa? soalku
dalam hati sambil memandang kosong buku latihan Fizik di atas meja. Sudah
hampir satu jam kami duduk di situ. Cikgu Zahira yang sepatutnya dijadualkan
masuk ke kelas kami tidak muncul-muncul dari tadi. Nurul yang menghadapku itu
memandang mukaku di samping meminta supaya aku percaya dengan kata- katanya.
Aku mengeluh buat kesekian kalinya.
“Baik, saya percayakan awak. Saya cuma…”
“Saya faham…lagipun ayah awak baru saja meninggal
dunia. Awak sedang tertekan. Jangan ikutkan perasaan awak tu. Berfikirlah secara
rasional.”
Aku memandang mukanya. Mata Nurul yang sepet itu
menjadi sasaranku. Aku merenung matanya. Dari situ, aku dapat melihat
keikhlasannya. Aku cuma tersenyum hambar.
Nurul yang dapat merasakan bahawa senyumanku itu
seperti dipaksa-paksa bersuara, “sudahlah…jangan terlalu memikirkan hal ini,
nanti pelajaran ke mana, hidup ke mana. Saya tak mahu kawan baik saya tak ada
masa depan.”
“Hish! Ke situ pula awak”, lalu aku tersenyum.
“Haa…bila awak senyum barulah comel sikit muka awak
yang tak berapa nak comel tu.” Aku menarik muka masam semula.
“Eleh…merajuklah tu.”
Sejurus kemudian kami ketawa bersama-sama. Topik tadi
turut hilang bersama-sama dengan gelak tawa dan senyuman yang terukir di bibir.
Aku sangka masalah tadi dengan senang sahaja boleh
dilupuskan daripada minda. Namun, aku silap. Ini semua gara-gara aku terlihat
kelibat Afril di gerai makan Pak Tam sedang membeli tiga bungkus teh ais. Aku
juga nampak kelibat Laili dan Khairunnisa di situ. Entah mengapa cemburuku
menjelma secara tiba-tiba. Ya, cemburu. Kerana aku lihat mereka kelihatan
sungguh mesra. Layanan Afril terhadap Laili dan Khairunnisa sangat baik.
Terutamanya Laili. Aku terkilan. Perwatakan Afril sungguh berbeza berbanding
semalam. Aku mengetap bibirku.
Memang, kalau hendak dibandingkan aku dengan Laili,
bagaikan langit dengan bumi. Laili mempunyai segala-galanya. Dia datang
daripada keturunan yang kaya-kaya. Wajahnya cantik, putih dan tampak sungguh
menawan. Dia juga seorang yang baik, bijak dan lemah-lembut. Memang sesuai
dipadankan dengan Afril, seorang anak muda yang berkarisma, pandai, kacak dan
maskulin. Ibu bapa Afril juga merupakan orang yang kaya. Semua yang Afril inginkan
pasti ditunaikan.
Aku tidak meminta untuk dia melutut di depanku.
Cukuplah sekadar dia melayan aku seperti dulu. Aku cepat-cepat beredar dari
situ. Takut kalau-kalau mereka perasan akan kehadiranku. Juga, tidak mahu
merosakkan kemesraan mereka.
Langkah kakiku terasa berat. Sejak tadi, aku menuntun
basikal sampai ke halaman rumah. Fikiranku berserabut saat ini. Betul-betul
berserabut. Aku memberi salam sambil membuka kasut baru pemberian arwah abah.
Kasut itu memaku perhatianku. Kasut itu merupakan hadiah terakhir daripada
arwah abah dan mungkin juga hadiah terakhir dalam hidupku kerana ibu tidak
mungkin mampu untuk membelikan aku hadiah dek kekurangan wang. Abah! Sarah
harap abah dilindungi Allah di ‘sana’. Jawapan salam daripada ibu mematikan
lamunanku. Dengan perasaan sedih, aku melangkah masuk ke dalam rumah.
Ayam masak lemak cili api menjadi santapan kami
sekeluarga pada tengahari itu. Suasana menjadi hambar. Satu suara pun tidak
terlontar sejak tadi. Hanya suara comel Ida yang ku dengar. Ibu yang perasan
akan kehambaran itu memulakan bicara.
“Macam mana sekolah harini?”
“Alhamdulillah…semuanya ok,” jawabku seadanya. Aku
memandang ibu. Wajah ibu kelihatan penat. Pasti disebabkan kerja. Ibu banyak
mengambil upah menjahit, menoreh dan mencuci pakaian sekarang. Tidak seperti
dulu, ibu kini harus membanting tulang demi mencari rezeki untuk menyara
kehidupan kami. Aku kasihan melihat ibu. Tapi, apa yang mampu aku buat? Tidak
ada! “Lepas makan, tolong basuhkan
pinggan ibu ya? Ibu nak ke atas,” kata ibu sambil mendukung Ida.
“Baik ibu,” sambutku.
Usai makan, basuh pinggan mangkuk, membersihkan diri
dan solat, aku merebahkan diri di atas katil usangku. Fikiranku mula menerawang
tentang peristiwa di gerai Pak Tam tadi. Semakin aku memikirkannya, semakin
terluka hatiku. Biarlah Sarah. Perjalanan kau masih panjang lagi. Jangan
terlalu memikirkan tentang Afril aje. Ada betulnya kata-kata Nurul tadi. Kalau
asyik serabut memikirkan masalah ini, pelajaran ke mana, hidup ke mana.
Sekarang ini kau harus fokus untuk mengubah nasib kau, Sarah. Hrm…tak lama lagi
akan bermulanya cuti bulan Mac. Mungkin tempoh cuti yang ada ini merupakan masa
yang paling sesuai untuk membantu ibu bekerja. Paling tidak mencuci pakaian
ataupun mengemas rumah. Aku mahu meringankan beban ibu. Itu azamku cuti yang
akan menjelang nanti.
No comments:
Post a Comment