Melukis Impian

Melukis Impian Melakar Kejayaan Menembusi Imaginasi

Thursday, November 22, 2012

Cerpen Satu Malaysia : Harta Pusaka Nukilan



            Nafasku kedengaran tercungap- cungap. Peluh sudah mula membasahi dahi, pipi dan tubuhku. Sejak tadi, nyawaku terasa bagai diancam. Aku meneruskan langkahku yang laju di tengah- tengah Hutan Simpan Perak  dalam keheningan malam itu. Kepekatan malam sudah tidak aku takuti lagi. Perkara yang aku takut sekarang ialah kalau- kalau orang Mat Salleh itu mencari aku. Aku yakin jika dia menjejakiku, dia tidak mungkin memburuku dengan tangan kosong. Pasti dia akan membawa pistol ataupun senapang. Gerun aku memikirkannya.

            Aku simpan sehelai surat usang yang berada dalam genggamanku itu ke dalam beg sandangku. Tiba- tiba aku terdengar bunyi ranting patah. Aku terkejut dan terus membuka langkah seribu. Mat Salleh itu sedang mengekoriku. Itulah yang terlintas dalam benakku. Aku teruskan berlari sehingga ke hujung hutan. Di situ aku terlihat satu cahaya. Aku menyusur keluar dari hutan itu dan menuju ke arah cahaya itu. Cahaya itu membawaku ke sebuah rumah tunggal 80- an tapi masih berpenghuni. Cahaya tadi datangnya dari mentol rumah itu yang kelihatan masih baru. Pasti ada orang yang tinggal di sini.

            Aku menuju ke muka pintu memandangkan rumah itu tiada berpagar. Pintu kayu yang menampakkan tanda- tanda pintu itu sudah lama di situ ku ketuk. Aku perlu segera berlindung di dalam rumah itu kerana aku dapat rasakan bahawa keselamatanku terancam jika aku masih berkeliaran di luar. Tidak lama kemudian pintu rumah itu dibuka.

            “Ya, cari siapa encik?” Seorang lelaki cina dalam lingkungan umur 30- an muncul di muka pintu dan bertanya kepadaku.

            “Err...nama saya Mustaqim. Begini encik, saya sebenarnya dalam keadaan bahaya. Boleh saya tumpang duduk di rumah encik sementara menunggu siang?” Kataku tidak menjawab soalan lelaki cina itu.

            Lelaki cina itu menjemputku masuk. Aku memandang kiri dan kanan sebelum membuka kasut dan masuk ke dalam rumah setelah yakin Mat Salleh itu tiada di situ.

            “Silalah duduk, “ ujar lelaki cina itu dengan ramah sambil menutup pintu rumahnya.

            “Terima kasih, encik... “

            “Yung Ren. Panggil saya Yung Ren, “ jawab Yung Ren memperkenalkan dirinya.

            Aku mengangguk tanda faham. Aku seterusnya mengitarkan pandangan ke segenap ruang rumahnya. Setiap sudut aku perhatikan terdapat artifak- artifak dan akhbar- akhbar yang memuatkan rencana tentang sejarah Malaysia.

            “Err...boleh saya tanya? “ Yung Ren meminta izin bertanya.

            “Silakan. “

            “Awak sedang lari dari siapa? “ Aku terpana seketika. Dia macam sudah tahu apa yang terjadi padaku sebentar tadi. Ya, memang aku sedang melarikan diri. Melarikan diri daripada orang putih durjana itu. Orang putih yang tamakkan harta!

            Aku mengeluarkan surat usang yang tadinya ku simpan dan menunjukkan kepada  Yung Ren.

            “Surat ini saya jumpa di rumah seseorang yang saya agak bahawa dia merupakan orang putih. “ Aku melurutkan kesan remuk pada surat yang bertulisan jawi itu itu. Mungkin sewaktu aku tergesa- gesa berlari tadi surat itu menjadi komot.

            “Boleh awak bacakan isinya? Saya tak faham tulisan jawi, “ kata  Yung Ren. Mukanya yang kelihatan tenang berubah terkejut melihatkan surat itu.

            Aku membaca isi surat itu,

“Tertanam ia di pintu kota kukuh seperti Mahligai Kubu. Letaknya elok di negeri segala dagang berhimpun ini. “

Aku menarik nafas lalu menghembusnya dan menyambung, “pada pemikiran saya, hal ini berkemungkinan ada kaitannya dengan harta karun”

            “Saya setuju. Saya pun rasa hal yang sama, ”  Yung Ren mencelah dan menyambung, “begini, sebenarnya sudah lama saya dan rakan saya Brahmayudan menjejaki surat ini. Surat ini dikatakan akan membawa kepada harta yang tak ternilai harganya. Saya dan rakan saya tu merupakan arkeologis, ” sambung  Yung Ren bila melihat wajahku yang sedang bermain dengan tanda tanya.

            “Surat ini juga dikatakan merupakan surat yang ditulis oleh Tun Mutahir, bendahara Melaka sewaktu sungai Melaka berjaya ditawan oleh Portugis.” Aku mengangguk faham.

            “Jadi, kalau benar surat ini membawa kita ke tempat harta karun itu, apa klu yang boleh kita ambil daripada surat ni? “ Soalku.

            “Tertanam ia di pintu kota kukuh seperti mahligai kubu...tunggu sekejap, sewaktu Portugis menjajah Melaka, terdapat satu kota pertahanan yang di bina untuk menjadi kubu dan tempat perlindungan orang- orang portugis. Mungkin kota yang dimaksudkan ialah Kota A’ Famosa. Dan kalau itu benar, harta tu mungkin terletak di pintu gerbang kota tersebut. Saya juga yakin yang kota itu Kota A’ Famosa kerana negeri yang dimaksudkan merupakan negeri Melaka. Dahulu, negeri Melaka telah diberi gelaran ‘Himpunan Segala Dagang’ oleh pedagang- pedagang yang berkunjung kerana terdapat ramai pedagang dari negara yang berbeza datang ke situ untuk berdagang, “ terang  Yung Ren dengan penuh bersemangat.

            “Kalau begitu, boleh saya ikut  Yung Ren dan Brahmayudan untuk ekspidisi ni? Saya pun tak nak terlepas daripada mencari harta yang tak ternilai tu sebelum orang putih tu berjaya menjumpai harta khazanah Tanah Melayu kita! “ Balasku turut bersemangat.

            Keesokan paginya, aku,  Yung Ren dan  Brahmayudan ke negeri Melaka untuk memulakan ekspidisi kami. Setelah tiba dalam lebih kurang jam 12.30 tengahari, kami segera mencari hotel bajet untuk penginapan satu malam kerana kerja- kerja cari- gali harus dilakukan pada waktu malam. Itulah waktu yang paling sesuai agar para pelancong dan orang- orang di sini tidak musykil. Kota A’ Famosa kini sudah menjadi pusat pelancongan yang terkenal. Jadi, tidak mustahil ramai pelancong yang akan datang melawat kota tersebut. Sementara menunggu malam, aku menghabiskan masaku melawat tempat bersejarah di sekitar situ termasuklah pintu gerbang Kota A’ Famosa yang kini hanya tinggal pintu gerbang sahaja.  Yung Ren dan  Brahmayudan sedari tadi berada di pintu gerbang itu sahaja padahal aku sudah dua tiga kali pusing di sekitar kota bersejarah itu. Siap sempat membeli ole- ole. Setelah selesai membeli, aku kembali sertai mereka yang berada di bawah pintu gerbang itu. Mereka seperti pelancong lagaknya. Melihat peninggalan sejarah itu dari dalam dengan sungguh terperinci.  Brahmayudan memandang ke arahku setelah aku sertai mereka.

            “Amboi, banyaknya awak beli! “ Kata  Brahmayudan.

            “Ala...sementara masih ada kesempatan, lebih baik jangan lepaskan peluang.” Balasku.  Brahmayudan hanya tersenyum.

            “Saya rasa awak mesti first time datang sini kan? “  Brahmayudan cuba mengagak. Aku sekadar mengangguk dan tersengih.

            “Biasalah tu...tapi kalau awak jadi arkeologis macam kami, lebih banyak tempat yang awak dapat lawati. Bukan sekadar di sini aje, di luar negara pun awak dapat, “ celah  Yung Ren turut tidak ketinggalan menyertai perbualan kami berdua.

            “Sebelum ni ada ke ekspidisi yang membawa kamu berdua ke luar negara? “ Soalku ingin tahu.

            “Ada, apa takdenya...saya dengan Brahma ni dah lama dah bekerja sebagai arkeologis. Sejak kami berusia 20- an lagi“ Aku bersilih ganti memandang kedua- dua wajah arkeologis tempatan yang berpengalaman itu.  Yung Ren menyambung, “ada suatu ketika tu, kami terpaksa meredah padang pasir di negara Timur Tengah hanya untuk mencari maklumat tentang masih adakah makam Firaun yang masih belum dijumpai. Waktu tu kami tak cukup bekalan makanan dan minuman. Jadi, kami terpaksa makan serangga atau apa saja haiwan yang berada di situ. Saya ingat lagi, saya terpaksa makan kala jengking yang sedang berehat di tepi batu”  Yung Ren tersenyum mengimbau kenangan lamanya.

            “Em, betul tu...saya masih rasa lagi perisa kala jengking tu awak tahu tak” seloroh encik Brahmayudan. Kami bertiga tergelak dengan jenaka encik Brahmayudan itu.

            “Wah, mesti banyak pengalaman yang dah kamu berdua peroleh melalui berbagai- bagai ekspidisi! “ Aku meluahkan rasa kagumku terhadap mereka. Mereka sekadar tersenyum bangga. “Jadi, tak hairanlah kalau saya cakap yang ini merupakan salah satu ekspidisi yang kurang menarik bagi kamu, “ tambahku.

            “Hish! ke situ pula awak ni. Sebenarnya saya lebih berminat nak sertai ekspidisi yang berkaitan dengan negara kita ni. Masih banyak lagi khazanah negara ni yang belum diterokai. Buat apa  nak cari sejarah negara orang tapi sejarah negara sendiripun tak tahu. “ Yung Ren menafikan penyataanku. Bertambah kagum pula dengan anak jati Perak ini. Walaupun sudah banyak mencari pengalaman di negara luar, negara sendiri tidak dilupakan.

            “Sudahlah,dah nak pukul 3.00 dah ni, saya dah lapar, jom kita pergi makan? “ Ajak Yung Ren.

            “Jom! “ Aku dan Brahmayudan berkata hampir serentak.

            Pada pukul 2.00 pagi esoknya, kami ke tempat itu semula. Seperti yang dirancang, aku diminta untuk menjaga line sama ada line clear ataupun tidak. Keadaan di situ agak lengang. Hanya terdapat beberapa buah kereta yang menyusur laju di jalan raya. Aku memandang mereka dan mengangguk tanda line clear. Dalam kegelapan malam itu ditambah pula gelapnya di bawah pintu gerbang itu, Yung Ren membuka lampu picitnya dan diletakkan di mulut membiarkan gigi putihnya itu memegang lampu picitnya manakala Brahmayudan dengan segera mencangkul tanah keras yang berada tepat di bawah pintu gerbang itu sehingga terpecah batu- bata lantai itu dan akhirnya mereka terjumpa sesuatu. Sekeping surat usang dan sekali lagi, bertulisan jawi.

            “Mustaqim! Sini kejap, “ panggil Yung Ren.

            “Ada apa? “

            “Tolong baca boleh? “

            Aku memandang surat usang itu lalu aku mengambil dan membukanya.”Nah,” Yung Ren memberikan lampu suluhnya kepadaku. Mengecil mataku. Dalam keadaan gelap disuruhnya aku baca surat ni. tulisan jawi pulak tu. Berangkai- rangkai.

“Anak waris Tanah Melayu, jaga tanah ini walau nyawa menjadi taruhanmu. Penawan bumi ini hanya membawa kemusnahan kepada agama dan adat kita. Agama dan adat jangankan hilang dari bumi kita ini. Tanah ini terkaya sungguh dengan adatnya Hai warisku, sadar dari tidurmu. Maruah itu ditaruh jangan. Kehendak Tanah Melayu untuk bebas lekas laksanakan. Satukan jiwamu menantang penjajah durjana. Hatta, kukuhkan persaudaraan agar persaudaraan itupun membantumu nescaya tanah kita akan kekal menjadi milik kita. Hai warisku, perbuatan khianat jangan kau lakukan sedang ia menjadi punca peperangan. Kehendakku kau laksanakanlah. Itu pintaku terakhir kali ini.”

            Aku melipat surat itu. Setelah itu aku menyuluh kedua-dua wajah yang berada di hadapanku kini.

            “Jadi, harta yang tak ternilai tu...bumi yang kita pijak nilah? “ Aku menyuarakan tanda tanya.

            “Lebih kurang macam tu jugaklah.” Yung Ren menjawab sekadar yang mampu. Aku langsung mengeluh dan sangat sedih kerana tidak dapat menjumpai harta karun yang selama ini menjadi tujuan kami datang ke mari. Brahmayudan dan Yung Ren turut sama bersedih.

            “Nampaknya usaha kita macam tak berbaloi je...”

“Hish! tak elok cakap macam tu. kita patut beruntung sebab kita dapat hidup dengan aman sekarang nipun kerana jasa orang terdahulu untuk terus berjuang pertahankan tanah air kita. Tanpa mereka siapa kita sekarang ni. cuba awak bayangkan, tiada siapapun yang menyuruh mereka pertahankan tanah ni. Mereka tak jumpa pun dengan surat ni, tapi mereka tetap berjuang sebab mereka dah tahu sendiri yang tanah ni tanggungjawab orang di sini untuk mempertahankannya. Kita ni sebagai waris tanah ni seharusnya kita turut berjuang seperti mereka. Tapi, kebanyakan penghuni tanah ni leka dengan mainan orang- orang barat yang tak pernah fikir tentang agama, adat dan budaya kita. Kita kena jaga tanah ni daripada dijajah secara fizikal mahupun mental. Kita kena bersatu walaupun berbeza bangsa, agama dan budaya. “ Yung Ren segera mencelah sebaik sahaja ayat itu meluncur laju dari mulutku. Dia tampak marah.

“Saya setuju dengan Yung Ren. Tanah nilah sebenarnya harta yang tidak ternilai tu. Tanah yang kita kenal sebagai Malaysia nilah harta yang tak ternilai harganya tu! “ Sokong Brahmayudan. Aku terkesima. Mereka bukan orang asal Tanah Melayu, tapi mengapa mereka sangat bersemangat pertahankan tanah ni. Sedangkan aku orang melayu, tapi lebih pentingkan harta karun daripada tanah airku sendiri. Kekagumanku memuncak terhadap mereka berdua. Yung Ren dan Brahmayudan. Dua- dua berasal dari bangsa yang berlainan. Namun, mereka tetap ingin bersatu.

“Maafkan saya. Saya begitu asyik dengan harta karun sampaikan terlupa bahawa ada harta yang jauh lebih penting yang harus saya jaga. Opps...maaf, kita jaga,” kataku mengaku kesilapanku.

Yung Ren dan Brahmayudan tersenyum lalu Yung Ren berkata, “tak mengapalah, lagipun apa guna kita hidup dalam satu bumbung kalau saling tak mengingati, kan? “

“Anggap je ekspidisi ni satu percutian buat kita, “ tambah Brahmayudan.

“Haah, satu percutian kesedaran untuk kita yang leka ni. “ kataku kemudian kami ketawa bersama. Percutian ini sangat aneh. Kami jadi kawan hanya dalam beberapa hari. Sungguh menakjubkan. Mungkin itu juga salah satu keajaiban Allah S.W.T.. Azamku, aku akan jaga Malaysia walau apa jua cabaran yang datang lepas ni.

Dush!

Kami terdengar bunyi tembakan. Tiba- tiba dadaku terasa panas. Aku memandang wajah Yung Ren dan Brahma sebelum rebah.

“Mustaqim!” Yung Ren memelukku. Dia meletakkan kepalaku di pehanya. Dadaku sakit. Teramat sakit. Bernafas pun aku tak mampu. Aku lihat Brahma sedang bergelut dengan seseorang. Peluru dilepaskan lagi namun sempat Brahma menahan tangan orang itu. Aku pandang muka Yung Ren yang sedang menangis. Entah kenapa dia menangis aku pun tak tahu. Pandanganku kabur sangat...aku rasa macam nak...

“MUSTAQIM!”


Mustaqim melarikan diri dari rumah pak ciknya bersama- sama surat yang membawa mereka bertiga ke Melaka itu. Surat yang pak ciknya curi dan simpan sekian lama tanpa pengetahuan bapanya. Pak cik Mustaqim terlalu inginkan harta pusaka peninggalan keturunan Tun Mutahir dan berimpian mahu melenyapkan keturunannya. Ya, benar. Mustaqim dan ayahnyalah waris sebenar Tun Mutahir. Pak ciknya, iaitu abang kepada ibu Mustaqim yang berdarah kacukan orang putih dan jawa telah melaksanakan impiannya walaupun dia sudah mendengar isi kandungan surat yang dibacakan oleh Mustaqim di mana tiada secebis harta karunpun yang terdapat di situ kerana dia telah berjaya membunuh Mustaqim. Itu lebih penting baginya. Setelah kejadian itu pak ciknya hilang tanpa diketahui jejaknya.



TAMAT...tamat ke??

Contoh karangan : Peranan- peranan yang dapat anda sumbangkan untuk membantu pihak sekolah dalam membanteras salah laku disiplin rakan- rakan di sekolah anda.


Hai guys! Akip hari ni ade benda nak share dgn korang...so siapa yang kebuntuan idea nak buat karangan tu...harap- harap dapatlah membantu...insyaa Allah...
Biar Akip cerita sikit pasal karangan ni...sebenarnya karangan ni adalah hasil daripada kerahan otak Akip waktu exam Peperiksaan Pertengahan Tahun (PPT)...mungkin ada sikit kekurangan tapi tak ada manusia yang sempurna...kan?
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX


                Dewasa kini, isu salah laku disiplin bukan sahaja sering menjadi buah mulut orang ramai malah sudah menjadi isu basi yang meniti daripada mulut ke mulut jagatraya ini. Statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 53 peratus remaja Malaysia mengalami kebejatan moral yang kritikal dan kerap kali menyumbang kepada peratus salah laku yang kian meningkat dari hari ke hari. Kesedaran tentang peranan- peranan penting yang harus mereka galas di pundak mereka seperti tidak mendapat tempat dalam sanubari mereka. Remaja sekolah kini masih leka dengan fantasi dunia sehingga tidak mengamalkan moral- moral yang baik dan sukar untuk berdisiplin. Justeru, sebagai seorang murid atau remaja sekolah, terdapat beberapa peranan yang dapat saya sumbangkan untuk membantu pihak sekolah dalam membanteras salah laku disiplin rakan- rakan di sekolah saya.

                Pengawas sekolah berfungsi untuk membantu pihak sekolah serta guru- guru dalam memastikan sekolah sentiasa dalam keadaan yang terkawal. Pengawas sekolah ini dilantik oleh guru- guru dalam kalangan pelajar yang berdedikasi dan bertanggungjawab. Namun, saat ini, terdapat segelintir pengawas sekolah yang bangga akan pangkat seterusnya menjadi malas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Oleh itu, peranan pertama yang mampu saya mainkan ialah menjadi pengawas yang berkaliber serta tidak bangga akan pangkat saya. Dengan cara ini, saya dapat membantu pihak sekolah mengurangkan salah laku disiplin. Contohnya, jika terdapat pelajar yang membuli, saya boleh menulis nama mereka dan melaporkannya kepada pihak pentadbir agar tindakan yang setimpal dapat diambil. Hal ini mampu mengurangkan bilangan kes salah laku sekolah.

                Selain itu, antara peranan yang boleh saya sumbang terhadap pihak sekolah dalam kes salah laku disiplin ialah membawa pengaruh yang positif kepada rakan sekolah saya yang tersasar ini. Menurut kata Dr. Ary Ginanjar Agustian, seorang motivator yang berasal dari Indonesia dalam salah satu programnya, “salah satu faktor menjadi ketua dan menghapuskan yang bathil ialah seseorang itu haruslah berpengaruh”. Berdasarkan ungkapan beliau saya menjadi yakin bahawa membawa pengaruh positif kepada rakan pelajar saya yang nakal itu akan dapat mendorongnya tidak lagi melakukan kesalahan disiplin. Walaupun bukan mudah untuk melaksanakan usaha tersebut, namun sehari selembar benang lama- lama menjadi kain.

                Di samping itu, saya juga dapat menurunkan bilangan kes salah laku disiplin dengan menasihati mereka. Setelah menjadi pengawas sekolah yang berkaliber dan bertanggungjawab serta berpengaruh, mendekatkan diri dan menasihati mereka yang kebejatan moral menjadi lebih mudah. Menurut hadis Rasulullah S.A.W. , “nasihat- menasihati akan menjadi kurang pada akhir zaman”. Jadi, saya ingin menegakkan yang hak dan menghapuskan yang bathil melalui peranan menasihati ini. Sebagai contoh, apabila terdapat yang membuang sampah merata- rata dalam kawasan sekolah, saya akan menasihati mereka dengan berkata bahawa mereka telah memburukkan imej sekolah serta diri mereka sendiri. Tegasnya, dengan menasihati mereka, aktiviti salah laku disiplin dapat dikurangkan.

                Bukan itu sahaja, saya dengan bantuan guru kaunselor akan membantu mereka menjadi baik. Segelintir pelajar melakukan kesalahan disiplin adalah berpunca daripada permasalahan keluarga, permasalahan hubungan dan lain- lain. Hal- hal sedemikian telah memberi tekanan kepada mereka dan akhirnya melakukan kesalahan disiplin dan melanggar peraturan sekolah dek mahu mencari keseronokan. Justeru, saya bersama- sama guru kaunselor dapat menawarkan diri untuk membantu mereka berbekalkan simpati yang mengusik sanubari. Memberi kaunseling kepada mereka merupakan contoh yang terbaik demi membantu mereka keluar dari gelombang hedonisme yang akhirnya menyebabkan kes salah laku meningkat.

                Akhir sekali, saya akan berbincang dengan para pentadbir sekolah agar undang- undang sekolah diperketat dan dikuatkuasakan sepenuhnya. Undang- undang yang luwes dan tidak dikuatkuasakan sepenuhnya tidak akan dapat mengurangkan kesalahan disiplin pelajar, malah ia hanya menyumbang kepada peratusan salah laku pelajar yang meningkat naik kini. Sekolah yang terbilang diukur pada undang- undangnya yang ketat. Tamsilannya, pelajar yang melakukan kesalahan berat seperti membuli haruslah dikenakan tindakan buang sekolah. Jadi, pada pendapat saya kaedah perdana ini mampu mengurangkan salah laku pelajar.

                Deduksinya, kesemua peranan yang dapat saya sumbangkan untuk membantu pihak sekolah dalam menangani kes salah laku disiplin pelajar sekolah saya tersebut mampu menjadikan sekolah- sekolah di Malaysia menjadi terbilang. Semua pihak hendaklah bahu- membahu agar masalah ini dapat kita bendung bersama supaya aspirasi negara dan harapan pemimpin untuk mengejar kemajuan dan ketamadunan negara tidaklah sekadar angan- angan Mat Jenin.
                                                                                                                                                             (659 patah perkataan)

Dan Bila Bertemu Ep 8


Cerita ini hanyalah rekaan saya semata- mata dan tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Kalau ada pun hanya kebetulan jer...~hahaha~
adapun cuma cerita tentang hidup manusia biasa.
Kalau korang terlepas Dan Bila Bertemu Ep 7 klik sini
Footnote(hehe...) : Kalau lagu blog ni mengganggu korang...'pause'laa kat bahagian paling bawah kanan blog ni okay...
XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

"PERCAYALAH, bukan saya".

"Habis siapa? saya pelik, kalau bukan awak...siapa? setahu saya awak seorang sajalah yang tahu hal ni".

"Itu tidak bermakna saya yang membocorkan rahsia awak. Kita ni kawan baik, Sarah. Saya dah janji dengan awak yang saya takkan bocorkan rahsia ni pada sesiapapun. Awak juga tahu saya bukanlah jenis orang yang melanggar janjinya”

Aku jadi bingung. Kalau bukan Nurul...siapa? soalku dalam hati sambil memandang kosong buku latihan Fizik di atas meja. Sudah hampir satu jam kami duduk di situ. Cikgu Zahira yang sepatutnya dijadualkan masuk ke kelas kami tidak muncul-muncul dari tadi. Nurul yang menghadapku itu memandang mukaku di samping meminta supaya aku percaya dengan kata- katanya. Aku mengeluh buat kesekian kalinya.

“Baik, saya percayakan awak. Saya cuma…”

“Saya faham…lagipun ayah awak baru saja meninggal dunia. Awak sedang tertekan. Jangan ikutkan perasaan awak tu. Berfikirlah secara rasional.”

Aku memandang mukanya. Mata Nurul yang sepet itu menjadi sasaranku. Aku merenung matanya. Dari situ, aku dapat melihat keikhlasannya. Aku cuma tersenyum hambar.

Nurul yang dapat merasakan bahawa senyumanku itu seperti dipaksa-paksa bersuara, “sudahlah…jangan terlalu memikirkan hal ini, nanti pelajaran ke mana, hidup ke mana. Saya tak mahu kawan baik saya tak ada masa depan.”

“Hish! Ke situ pula awak”, lalu aku tersenyum.

“Haa…bila awak senyum barulah comel sikit muka awak yang tak berapa nak comel tu.” Aku menarik muka masam semula.

“Eleh…merajuklah tu.”

Sejurus kemudian kami ketawa bersama-sama. Topik tadi turut hilang bersama-sama dengan gelak tawa dan senyuman yang terukir di bibir.

Aku sangka masalah tadi dengan senang sahaja boleh dilupuskan daripada minda. Namun, aku silap. Ini semua gara-gara aku terlihat kelibat Afril di gerai makan Pak Tam sedang membeli tiga bungkus teh ais. Aku juga nampak kelibat Laili dan Khairunnisa di situ. Entah mengapa cemburuku menjelma secara tiba-tiba. Ya, cemburu. Kerana aku lihat mereka kelihatan sungguh mesra. Layanan Afril terhadap Laili dan Khairunnisa sangat baik. Terutamanya Laili. Aku terkilan. Perwatakan Afril sungguh berbeza berbanding semalam. Aku mengetap bibirku.

Memang, kalau hendak dibandingkan aku dengan Laili, bagaikan langit dengan bumi. Laili mempunyai segala-galanya. Dia datang daripada keturunan yang kaya-kaya. Wajahnya cantik, putih dan tampak sungguh menawan. Dia juga seorang yang baik, bijak dan lemah-lembut. Memang sesuai dipadankan dengan Afril, seorang anak muda yang berkarisma, pandai, kacak dan maskulin. Ibu bapa Afril juga merupakan orang yang kaya. Semua yang Afril inginkan pasti ditunaikan.

Aku tidak meminta untuk dia melutut di depanku. Cukuplah sekadar dia melayan aku seperti dulu. Aku cepat-cepat beredar dari situ. Takut kalau-kalau mereka perasan akan kehadiranku. Juga, tidak mahu merosakkan kemesraan mereka.

Langkah kakiku terasa berat. Sejak tadi, aku menuntun basikal sampai ke halaman rumah. Fikiranku berserabut saat ini. Betul-betul berserabut. Aku memberi salam sambil membuka kasut baru pemberian arwah abah. Kasut itu memaku perhatianku. Kasut itu merupakan hadiah terakhir daripada arwah abah dan mungkin juga hadiah terakhir dalam hidupku kerana ibu tidak mungkin mampu untuk membelikan aku hadiah dek kekurangan wang. Abah! Sarah harap abah dilindungi Allah di ‘sana’. Jawapan salam daripada ibu mematikan lamunanku. Dengan perasaan sedih, aku melangkah masuk ke dalam rumah.

Ayam masak lemak cili api menjadi santapan kami sekeluarga pada tengahari itu. Suasana menjadi hambar. Satu suara pun tidak terlontar sejak tadi. Hanya suara comel Ida yang ku dengar. Ibu yang perasan akan kehambaran itu memulakan bicara.

“Macam mana sekolah harini?”

“Alhamdulillah…semuanya ok,” jawabku seadanya. Aku memandang ibu. Wajah ibu kelihatan penat. Pasti disebabkan kerja. Ibu banyak mengambil upah menjahit, menoreh dan mencuci pakaian sekarang. Tidak seperti dulu, ibu kini harus membanting tulang demi mencari rezeki untuk menyara kehidupan kami. Aku kasihan melihat ibu. Tapi, apa yang mampu aku buat? Tidak ada!        “Lepas makan, tolong basuhkan pinggan ibu ya? Ibu nak ke atas,” kata ibu sambil mendukung Ida.

“Baik ibu,” sambutku.

Usai makan, basuh pinggan mangkuk, membersihkan diri dan solat, aku merebahkan diri di atas katil usangku. Fikiranku mula menerawang tentang peristiwa di gerai Pak Tam tadi. Semakin aku memikirkannya, semakin terluka hatiku. Biarlah Sarah. Perjalanan kau masih panjang lagi. Jangan terlalu memikirkan tentang Afril aje. Ada betulnya kata-kata Nurul tadi. Kalau asyik serabut memikirkan masalah ini, pelajaran ke mana, hidup ke mana. Sekarang ini kau harus fokus untuk mengubah nasib kau, Sarah. Hrm…tak lama lagi akan bermulanya cuti bulan Mac. Mungkin tempoh cuti yang ada ini merupakan masa yang paling sesuai untuk membantu ibu bekerja. Paling tidak mencuci pakaian ataupun mengemas rumah. Aku mahu meringankan beban ibu. Itu azamku cuti yang akan menjelang nanti.